Free Web Hosting by Netfirms
Web Hosting by Netfirms | Free Domain Names by Netfirms

Home
Event
Teachers
Students
Photo
SPM
Wallpaper
Games
Links

5S2 Forum

View and sign guest book

Tamadun Awal Di Asia Tenggara

SOALAN 1

a. Apakah yang dimaksudkan dengan kerajaan agraria ?

Kerajaan agraria ialah kerajaan yang berasaskan pertanian. Ia berkembang di lembah sungai. Perkembangannya berkait rapat dengan keluaran hasil pertanian kerana mempunyai teknologi pertanian.

b. Huraikan ciri-ciri kerajaan agraria.

Ciri-ciri kerajaan agraria dapat dilihat dari aspek lokasi, aktiviti masyarakat, teknologi dan perdagangan.

Lokasi
Dari segi lokasi ia terletak di kawasan tanah subur, di lembangan sungai dan di kawasan pedalaman.

Aktiviti masyarakat
Dilihat dari segi aktiviti masyarakat, mereka memperolehi makanan secara berburu, mengutip hasil hutan dan menangkap ikan pada peringkat awal.

Mereka juga mempunyai kemahiran menghasilkan makanan sendiri dengan pertanian pindah sehingga mengusahakan pertanian tetap dan menternak binatang. Jenis-jenis tanaman utama ialah padi sawah, padi huma, ubi, dan keladi.
 
Teknologi
Mereka juga mempunyai teknologi pengairan. Dalam kerajaan Angkor sistem pengairan dimiliki dan diuruskan oleh kerajaan.
 
Perdagangan/Penyalur
Kerajaan agraria mempunyai hubungan perdagangan dengan kerajaan maritim. Kerajaan agraria membekalkan hasil hutan, rempah-ratus, ubat-ubatan dan damar kepada kerajaan maritim untuk diperdagangkan.

 
Apakah yang dimaksudkan dengan kerajaan maritim?
Kerajaan maritim ialah kerajaan yang terletak di pesisiran pantai. Kerajaan ini memberikan tumpuan kepada perdagangan dan kegiatan berkenaan dengan laut.  



 

 SOALAN 2

Huraikan faktor-faktor kebangkitan kerajaan maritim?

Faktor-faktor kebangkitan ialah penduduknya sangat mahir dalam pelayaran. Malah mereka juga mahir membuat kapal-kapal besar.

Faktor yang kedua ialah penduduknya terlibat dalam kegiatan perdagangan, dengan ini cukai telah memberikan sumber pendapatan yang utama.

Kerajaan maritim juga terletak di tengah perjalanan Timur dan Barat. Tiupan angin monsun menyebabkan para pedagang terpaksa singgah sementara menunggu pertukaran angin monsun. Boleh dikatakan ia terletak di kawasan yang strategik.

Faktor terletak di pelabuhan yang strategik juga menyebabkan kemunculan kerajaan maritim. Dengan itu pelbagai kemudahan disediakan kepada pedagang yang singgah di situ. Misalnya air, tempat penyimpanan barangan dan sebagainya.

Kerajaan maritim juga merupakan penyalur barangan kepada kerajaan agraria. Dengan itu segala keperluan pedagang luar dari kerajaan agraria dipasarkan oleh kerajaan maritim.

Gunung Jerai merupakan penanda utama kepada para pedagang yang akan bersinggah di kerajaan maritim. Gunung Jerai seolah-olah isyarat untuk sampai berdagang di kerajaan maritim di Asia Tenggara.  


 

 

SOALAN 3

Mengapakah perkembangan kerajaan agraria bermula di lembah sungai ?

Kerajaan agraria bermula di lembah sungai kerana tanah yang subur, ini sesuai untuk dijadikan kawasan pertanian.

Di tepi sungai juga memungkinkan teknologi pengairan, keperluan domestik contohnya mandi, memasak dan minum.

Perkembangan kerajaan agraria di tepi sungai juga telah memungkinkan sistem jalan perhubungan antara sesuatu tempat.

Di tepi sungai juga telah memungkinkan kepada sumber protein, seperti ikan.

Bagaimanakah kerajaan agraria dikatakan saling berhubungan dengan kerajaan maritim?

Kerajaan agraria dan kerajaan maritim saling berhubungan dapat di lihat dari aspek perdagangan. Kerajaan agraria membekalkan hasil-hasil pertanian dan hasil hutan kepada kerajaan maritim.

Kerajaan maritim berperanan sebagai orang tengah mengumpul barangan agraria untuk ke pasaran antarabangsa.

Kerajaan agraria membekalkan keperluan makanan asasi kepada kerajaan maritim.  


 

 

 SOALAN 4.

Huraikan peranan raja di dalam kerajaan awal di Asia Tenggara?

Raja menjadi ketua kerajaan dan berkuasa mutlak di dalam pemerintahan. Baginda berkuasa membuat undang-undang. Semua undang-undang yang dibuat bertujuan untuk mengukuhkan kedudukannya.

Baginda memainkan peranan cergas di dalam bidang ekonomi . Ibu kota menjadi pusat kegiatan ekonomi. Baginda menjalin hubungan erat dengan kawasan pengeluaran barangan.

Baginda menjamin keamanan dan kemakmuran kerajaan dan keamanan rakyat.

Raja menggunakan golongan brahmin bagi menonjolkan kesaktian dan kekuatannya, untuk menanam keyakinan dan taat setia rakyat.

 Baginda menjadi ketua angkatan tentera.

 Raja adalah pemutus dalam semua hal.

Baginda menyelesaikan masalah tanah dan pekerja apabila pegawai-pegawai tidak dapat menyelesaikan masalah itu melalui undang-undang. 



 

 

SOALAN 5

 Bagaimanakah pemerintah kerajaan awal mengukuhkan kedudukannya?

 Raja mengukuhkan kedudukannya apabila semua undang-undang yang dibuat untuk kepentingan raja. Rakyat tidak boleh mempersoalkannya.

 Baginda juga menggunakan golongan brahmin untuk menonjolkan kesaktian dan kekuatan.

Brahmin pula menggunakan cerita metos dan lagenda untuk menanamkan keyakinan, dan melahirkan taat setia rakyat.

 Raja menggunakan konsep devaraja. Raja dianggap memiliki ciri-ciri tuhan di bumi. Contohnya Raja Angkor dipercayai sebagai dewa Siva manakala raja Srivijaya dipercayai sebagai Raja di Gunung dan Maharaja Pulau.

 Raja juga mengadakan perhubungan persahabatan dengan pusat pengeluaran barangan di kawasan pedalaman menerusi sistem kepercayaan dan adat istiadat. 


 

 
SOALAN 6

Jelaskan struktur kerajaan (pentadbiran) kerajaan Angkor?

Susunan pentadbiran kerajaan Angkor adalah mengikut kelas sosial. Raja dianggap sebagai tuhan devaraja. Baginda juga berkuasa mutlak. Raja dibantu oleh sebuah majlis menteri yang dilantik. Baginda akan campur tangan dalam urusan pentadbiran apabila pegawai-pegawai yang dilantik tidak dapat menyelesaikan masalah.

 Baginda melantik pegawai tinggi sebagai pentadbir di peringkat pusat.

 Gabenor menjalankan pentadbiran di peringkat wilayah.

 Manakala pegawai pentadbir berkuasa di peringkat kampung.

 Dalam sistem pentadbiran Angkor terdapat juga pegawai tentera, hakim dan kebajikan masyarakat untuk melicinkan sistem pentadbiran. 



 

 

SOALAN 7

Dengan merujuk kepada mana-mana kerajaan awal, huraikan kepentingan pembinaan empayar, dan bagaimanakah empayar itu diperluaskan?

 Kepentingan pembinaan empayar membolehkan kerajaan awal memperluaskan pengaruh, memperluaskan kuasa dan menambahkan sumber ekonomi. Contohnya kerajaan Srivijaya.

 Empayar Srivijaya diperluaskan melalui beberapa cara:

Melalui peperangan kegagahan angkatan tentera yang boleh menakutkan musuh yang ingin menggugat keamanan.

 Srivijaya telah menjadikan angkatan tentera sebagai satu cabang utama dalam pentadbiran. Misalnya Srivijaya telah berjaya menawan Jambi dan Kedah yang maju dalam bidang perdagangan. Srivijaya juga telah menyerang Pulau Jawa untuk menguasai Selat Sunda. Selain itu Srivijaya juga telah meluaskan pengaruhnya ke Selat Melaka dan Selat Sunda untuk mengawal perdagangan. Srivijaya juga telah menguasai Langkasuka, Bangka, Tarimanaga, Minanga dan Tulang Bawang.

Perluasan kuasa Srivijaya melalui penghantaran ufti ke negara China, ufti tersebut sebagai tanda persahabatan. Srivijaya tidak perlu berperang. Dengan cara tersebut Srvijaya akan menerima ufti daripada negeri jajahan takluknya.

Kerajaan Srivijaya memperluaskan empayar melalui cara perkahwinan untuk meningkatkan kuasa dan pengaruhnya. Contohnya Kerajaan Dvaravati mengahwinkan saudara atau anaknya dengan raja daripada kerajaan Srivijaya yang boleh menggugat kedudukannya.

Kerajaan Srivijaya telah menggunakan cerita metos dan lagenda untuk menggambarkan kebesaran seseorang raja. Raja akan digambarkan berkuasa sakti, berkusa mutlak dan bersifat ketuhanan, dan dianggap Raja di Gunung dan Maharaja di Pulau. Dengan cara lagenda ini negeri-negeri kecil akan tunduk di bawah kuasa mereka. 


 

 

SOALAN 8

Huraikan perkembangan dan kemerosotan Kerajaan Srivijaya

Perkembangan

Kerajaan Srivijaya telah muncul antara tahun 671 hingga 685 Masehi. Pusat pemerintahan terletak di Palembang. Srivijaya telah berjaya menawan kerajaan-kerajaan Melayu-Jambi, Kedah, Bangka, Tulang Bawang, Minanga dan Langkasuka.

Pada kurun ke-8 hingga kurun ke-10 Srivijaya berpecah menjadi kerajaan-kerajaan yang kecil berikutan masalah perebutan takhta kerajaan.

Srivijaya kembali stabil pada akhir abad ke-10 dan berjaya menguasai Selat Sunda dan menyekat kapal-kapal dagang daripada singgah di Jawa.

 Kemerosotan

Srivijaya semakin merosot akibat daripada serangan Kerajaan Chola dari India.

Srivijaya juga semakin merosot akibat persaingan daripada Jawa yang berjaya menguasai perdagangan di tanah jajahannnya.

Kemorosotan Srivijaya juga disebabkan oleh serangan Kerajaan Singosari di Jawa yang berjaya menguasai perairan pantai timur Sumatera. Maka Srivijaya semakin lemah dan lenyap menjelang kurun ke-13 Masehi. 


 

SOALAN 9

Apakah faedah/keuntungan/kepentingan yang diperolehi oleh Srivijaya hasil daripada hubungan luar.

Faedah / keuntungan kepada Srivijaya ialah:

Srivijaya dapat memungut cukai daripada kapal yang melalui Selat Melaka dan Selat Sunda.

Srivijaya dapat menerima ufti dari kerajaan-kerajan di bawah taklukannya.

Srivijaya dapat menguasai hasil pengeluaran dari kawasan pedalaman seperti Sumatera dan Tanah Melayu.

Srivijaya dapat menarik lebih ramai pedagang kerana barang dagangan di pelabuhan semakin bertambah.

Srivijaya dapat meluaskan agama Buddha dan pengaruh kebudayaannya di negeri jajahannya dan sekitarnya. 


 

 

S0ALAN 10

Jelaskan usaha-usaha Srivijaya untuk mengekalkan kehebatannya di Asia Tenggara?

Antara usaha-usaha Srivijaya ialah mendapatkan hasil keluaran dari kawasan pedalaman Tanah Melayu dan Sumatra. Selain itu Srivijaya juga telah memungut cukai daripada kapal-kapal yang melalui Selat Sunda dan Selat Melaka.

Pemerintah Srivijaya juga telah membuat lawatan ke negara China dan India semenjak kurun ke-7 lagi, tujuannya untuk membuat hubungan persahabatan dan dagangan. Srivijaya juga telah menghantar duta negaranya ke nagara China.

Srivijaya juga telah mengadakan hubungan persahabatan dengan kerajaan India dan China. Selain itu Srivijaya telah menjamin keselamatan para pedagang China di peraiaran Asia Tenggara. Sebarang permintaan China ke atas barangan tempatan akan dipenuhi.

Srivijaya juga telah muncul sebagai pelabuhan entropot. Srivijaya telah menghapuskan lanun di perairan Selat Melaka dan Selat Sunda. Dengan itu Srivijaya berjaya menyekat kapal-kapal dagang yang akan singgah di Pulau Kepulauan Jawa.

Untuk mengekalkan kehebatannya, Raja-raja Srivijaya telah menjadikan istana sebagai pusat kegiatan agama Buddha. Dengan itu Srivijaya telah muncul sebagai pusat kegiatan agama Buddha yang terkenal di Asia terkenal di Asia Tenggara. 


 

SOALAN 11

Huraikan ciri-ciri agama dan kepercayaan masyarakat awal Asia Tenggara?

Agama dan kepercayaan masyarakat awal Asia Tenggara ada 3 jenis; iaitu animisme, Hindu dan Buddha.

Kepercayaan animisme ialah kepercayaan bahawa setiap benda mempunyai semangat atau roh yang boleh mempengaruhi kehidupan manusia. Dengan demikian mereka mesti menghormati dan memuja semangat atau roh supaya kehidupan mereka selamat.

Kemudian muncul pula agama Hindu dan Buddha, yang telah mempengaruhi kepercayaan, pemikiran, pemerintahan, pentadbiran dan kesenian. Agama ini telah mendapat sokongan dan naungan dari golongan istana. Agama Hindu-Buddha telah disebarkan oleh golongan pedagang luar yang datang berniaga. Di samping itu ada juga pendapat mengatakan ia disebarkan oleh pedagang tempatan.

Melalui ajaran Hindu maka masyarakat tempatan mempercayai kepada dewa Hindu seperti Siva, Vishnu, Yama, Indra, Chandra dan Gupta. Mereka hanya menerima unsur-unsur yang tidak bercanggah dengan kepercayaan tempatan. Dengan itu agama ini hanyalah sebagai pelengkap kepada kepercayaan yang sedia ada.

Melalui kepercayaan Buddha mereka mempercayai larangan kekejaman sesama manusia, kerana kekejaman tidak mendatangkan sebarang kebaikan. Ajaran ini ada dua Iaitu Hinayana(Theravada) dan Mahayana. Hinayana adalah ajaran yang asal dan masih diamalkan di Thailand, Myanmar, Indonesia dan sri Lanka. Manakala ajaran Mahayana pula telah mengalami proses pengubahsuaian dari China. 


 

SOALAN 12

Mengapakah Tasik Tonle Sap sangat penting kepada kerajaan Angkor?

Tasik ini dibina pada abad ke 10 M. Kini ia teletak di bahagian Tengah Kampuchea. Tasik ini sangat penting kerana ia merupakan sistem pengairan yang terpenting untuk kegiatan pertanian padi sawah. Ia akan membekalkan air untuk mengairi sawah. Air ini akan disalurkan melalui benteng dan terusan.

 Di sekitar tasik ini juga tanahnya rata, iklimnya panas dan lembap sepanjang tahun menjadikan ia sebagai kawasan penanaman padi.

 Pada musim hujan, air banjir dari sungai Mekong telah mengalir ke Tasik Tonle Sap kerana paras laut di sekitar tasik ini rendah. Dengan itu kawasan sekeliling tasik ini akan menjadi kawasan lumpur lanar yang subur untuk pertanian padi sawah.

Kawasan tasik ini juga dapat memenuhi keperluan kehidupan masyarakat di bandar Angkor. Di sini terdapat banyak ikan dan merupakan tempat bekalan ikan yang penting. Ikan-ikan senang ditangkap pada musim kemarau apabila air tasik surut.

Selain itu kawasan tasik ini juga dapat memenuhi keperluan kehidupan masyarakat sekitar bandar Angkor. Dengan itu ia digunakan untuk diminum, membasuh dan sebagainya. 


 

 

SOALAN 13

a. Apakah maksud candi?

b. Apakah yang dapat dirumuskan/gambaran mengenai peninggalan candi-candi?

 a. Candi bermaksud sebuah bangunan tempat penyembahan menurut ajaran agama Hindu dan Buddha.

 b. Gambaran peninggalan candi ialah:

 Candi menggambarkan betapa kuatnya pegangan terhadap agama Hindu-Buddha. Ini terbukti dengan seni ukir yang terdapat pada bangunan tersebut. Contohnya candi Borobudur di Jawa.

 Pembinaan sesebuah candi juga menggambarkan kekuatan sesebuah kerajaan. Ini kerana candi itu di bina melalui sistem tenaga kerah.

Melalui pembinaan candi juga ia menggambarkan sebuah monumen / peringatan kepada orang yang telah mati. Contohnya stupa di Borobbudur yang memperingati kematian raja, sami dan orang kebanyakan.

Pembinaan sesebuah candi juga menggambarkan mengenai perjalanan hidup untuk menjadi Sang Buddha.

Pembinaan candi juga merupakan tempat bersemadi roh diraja. Contohnya Angkor Wat.

Pembinaan candi juga menggambarkan dan menyeru supaya manusia boleh berharmoni, di mana candi adalah model alam semesta.

Gambaran peninggalan candi juga dapat melambangkan ketinggian seni ukiran dan kepakaran pengukirnya. 


 

 

SOALAN 14

(a) Jelaskan kepentingan monumen/candi kepada kerajaan awal.

(b) Pada pendapat anda mengapakah monumen yang ada perlu dikekalkan?

(a)

Monumen / candi adalah tempat penyembahan tuhan menurut kepercayaan agama Hindu - Buddha.

Kepentingan candi ialah menunjukkan sesebuah kerajaan itu kuat dan berjaya pada zamannya.

Candi digunakan sebagai tempat bersemadi roh diraja.

Candi juga boleh menunjukkan kekuatan dan kedaulatan kerajaan.

Candi menjadi pusat kepercayaan, dan kedudukannya selaras dengan susunan alam ( orde kosmos ) supaya rakyat dapat hidup dalam harmoni dan makmur

Candi juga menggambarkan atau melambangkan ketinggian nilai seni serta kepakaran pengukirnya.

Candi juga di jadikan sebagai pusat pemerintahan sesebuah kerajaan.

(b)

Candi perlu dikekalkan kerana sebagai menghargai bahan sejarah yang berharga.

Candi juga perlu dikekalkan sebagai menunjukkan ketinggian seni bina masyarakat kerajaan awal di Asia Tenggara.

Candi itu perlu dikekalkan supaya terdapat bahan kajian untuk mengkaji sejarah pentadbiran kerajaan-kerajan awal Asia Tenggara. 


 

 

SOALAN 15

Jelaskan kaitan I-Tsing tentang keistimewaan Palembang (Srivijaya) sebagai pusat pengajian agama Buddha.

I-Tsing ialah seorang sami Buddha dari China yang telah belayar dan tiba di perairan Asia Tenggara pada tahun 672 M. Beliau telah bersinggah di Palembang dalam perjalanannya ke India.

Beliau telah melaporkan ketika itu Srivijaya telah menjadi pusat pengajian agama Buddha. Beliau menetap di situ selama 6 bulan untuk mempelajari bahasa Sanskrit. Beliau melaporkan ramai penganut Buddha mempelajari agama ini di Palembang sebelum ke India.

Dalam laporannya beliau menggalakkan sami-sami Buddha mendalami ilmu agama ini di srivijaya sebelum ke India. ketika menetap di palembang selama 4 tahun, beliau telah menyalin dan menterjemahkan buku agama Buddha dari bahasa Sanskrit ke bahasa China.

Beliau juga telah mempengaruhi Hui Ning ( sami dari China) supaya mempelajari agama Buddha di Srivijaya dan meninggalkan Jawa. Laporan IS ini juga menyebabkan Jawa kurang dikunjungi.

Kesan laporan IS juga menyebabkan Atisa ( ketua agama Buddha dari Tibet ) mempelajari agama Buddha di Srivijaya selama 12 tahun.  


 

SOALAN 16

Halkan pengaruh Srivijaya yang dapat dikesan dalam sistem pemerintahan kerajaan Melaka pada abad ke 15?

 Sememangnya sistem pemerintahan Melaka terpengaruh dengan sistem dari Srivijaya. Ini dapat dilihat daripada segi pentadbiran negeri Melaka. Negeri Melaka dibahagikan kepada beberapa peringkat, iaitu peringkat pentadbiran diraja, peringkat ketenteraan dan peringkat daerah.

 Pengaruh Srivijaya dapat juga dilihat daripada segi pemerintahan yang dibantu oleh majlis pembesar. Pembesar itu berperanan sebagai orang perantaraan di antara raja dengan rakyat.

Kekuasaan raja Srivijaya dengan Sultan Melaka juga hampir sama, iaitu baginda berkusa mutlak dan baginda ketua kerajaan dalam pemerintahan.

Baginda juga berhak membuat undang-undang untuk mengukuhkan kedudukannya. Raja-raja digambarkan mempunyai kuasa kesaktian melalui cerita metos dan lagenda.  


 

SOALAN 17

Buktikan terdapatnya pengaruh bahasa Sanskrit dalam kerajaan awal di Asia Tenggara?

 Pengaruh bahasa Sanskrit dalam kerajaan awal dapat dilihat pada jumpaan batu-batu-batu bersurat yang menceritakan mengenai keagungan raja. Batu-batu bersurat(prasasti) itu menggunakan bahasa Sanskrit. Contohnya Batu Bersurat kerajaan Kutei di Kalimantan.

Pada zaman kerajaan awal, bahasa Sanskrit merupakan bahasa sarjana. Bahasa itu dibawa melalui proses pengindiaan. Ini lebih jelas lagi apabila I-Tsing telah menterjemahkan kitab Buddha dari bahasa Sanskrit ke bahasa China di Palembang semasa keagungan kerajaan Srivijaya.

Selain itu terdapat banyak juga tulisan bahasa Sanskrit dalam buku-buku agama. Ini jelas dalam dua epik Ramayana dan Mahabrata.

Pengaruh bahasa Sanskrit dapat juga dilihat dalam upacara pembacaan doa, misalnya agar sesorang itu berjaya dalam pelayaran.

 Pengaruh bahasa Sanskrit dapat juga dilihat daripada penyerapan bahasa tersebut ke dalam bahasa Melayu. Misalnya perkataan dosa, derhaka, pahala dan sebagainya.  


 

 
SOALAN 18

Buktikan terdapatnya pengaruh Hindu-Buddha dalam kerajaan awal di Asia Tenggara?

 Penagaruh Hindu Buddha itu dapat dilihat dalam beberapa aspek tertentu. Misalnya dalam struktur pentadbiran,kesenian, bahasa dan seni bina.

 Pengaruh yang lain dapat dilihat dalam aspek konsep devaraja. Dalam konsep ini raja dianggap sebagai anak Tuhan atau Tuhan di muka bumi.

Pengaruh Hindu-Buddha seterusnya ialah melalui penggunaan bahasa Sanskrit itu sendiri. Bahasa Ini telah dikaitkan secara langsung dengan penyebaran agama Hindu-Buddha.

Peninggalan candi, gendang dan loceng juga merupakan bukti terdapatnya pengaruh Hindu-Buddha dalam kerajaan awal di Asia Tengara. Alatan tersebut merupakan perkara utama dalam kegiatan keagamaan.

Catatan I-Tsing juga adalah bukti jelas mengenai kemunculan Srivijaya sebagai pusat kegiatan agama Buddha di Asia Tenggara.

Peranan yang dimainkan oleh golongan Brahmin sebagai penasihat raja juga adalah bukti utama agama tersebut penting di Asia Tenggara. Sami akan membaca mentera dan jampi serapah semasa upacara tertentu. Nilai kepercayaan masyarakat awal kepada dewa-dewa tertentu, seperti Siva, Indra, Durga dan sebagainya adalah bukti jelas pengaruh agama tersebut dalam masyarakat awal di Asia Tenggara. Menurut kepercayaan agama Hindu Buddha, sebuah negara menggambarkan satu alam semesta(0rde Kosmos). Raja dan ibukotanya adalah pusat alam.  


Up ] [ Tamadun Awal Asia Tenggara ] Warisan Kesultanan Melayu ] Menghadapi Cabaran Barat ] Pembentukan Ekonomi Moden ] Pembinaan Bangsa Dan Negara Malaysia Yang Berdaulat ] Pembangunan Untuk Kesejahteraan ]

 
Copyright © 2001 5S2 of Sam Tet. All rights reserved. No part of this site may be reproduced without written permission from the Webmaster.